Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri Ke Atas Ketua Polis Pahang
- Hebahan
- Jumlah paparan: 81
Kuantan, 8 Oktober 2024 – Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, Ketua Pengarah BPJPM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YDH DCP Dato’ Noor Hisam bin Nordin - Timbalan Ketua Polis Pahang mewakili YDH CP Dato' Sri Yahaya bin Othman, Ketua Polis Pahang, hari ini bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Kunjungan hormat ini adalah untuk menzahirkan penghargan terima kasih kepada YDH Ketua Polis Pahang atas kesudian untuk menjadi tuan rumah bagi Seminar Program Perlindungan Saksi Bilangan 2/2024 anjuran BPJPM yang akan dirasmikan oleh YDH Ketua Polis Pahang pada Rabu, 9 Oktober 2024 bertempat di Swiss-Belhotel Kuantan, Pahang.
Tujuan Seminar Program Perlindungan Saksi Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal dan pengetahuan berguna berkenaan Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] kepada semua peserta yang hadir, terdiri daripada semua agensi penguatkuasaan dan pemegang taruh yang berkepentingan di negeri Pahang. Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Pahang, Pejabat Pengarah Mahkamah Negeri Pahang, Unit Pendakwaan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pahang (JPN Pahang), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKN Pahang) dan Jabatan Imigresen Negeri Pahang (JIM Pahang), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pahang (SPRM Pahang) dan pelbagai Agensi Kerajaan di Pahang.
BPJPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YDH Ketua Polis Pahang dan PDRM Negeri Pahang atas kerjasama yang tinggi bagi menjayakan Seminar Program Perlindungan Saksi Bilangan 2/2024.
Semoga kunjungan hormat ini menyimpul jalinan hubungan baik dan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak dalam menjayakan operasi dan tugasan pada masa akan datang.
Mengiringi Tuan Ketua Pengarah BPJPM semasa sesi kunjungan hormat ini ialah YDH Tuan SAC Mohd Faisal bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah; YDH Tuan ACP Skandaguru a/l Anandan @ Ananthurai, Pengarah Cawangan Operasi dan Puan Nur Hidayah Raihan binti Md. Nasir, Pendaftar BPJPM.