Putrajaya, 10 April 2025: Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana penuh keceriaan dan kemesraan.
Majlis ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah-Pengarah Cawangan, serta seluruh warga Bahagian Perlindungan. Kehadiran semua peringkat warga jabatan ini menyerikan lagi sambutan, mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan organisasi.
Majlis turut dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Pengarah yang menekankan nilai kesyukuran, perpaduan, dan semangat berpasukan dalam menyambut Syawal, di samping menghargai komitmen serta usaha semua warga dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Pelbagai juadah istimewa dan hidangan tradisional turut memeriahkan suasana, disertai dengan sesi bergambar dan ramah mesra antara pegawai serta kakitangan.
Semoga majlis seperti ini terus menyemai nilai murni, memperkukuh hubungan kerja dan mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan dalam kalangan warga Bahagian Perlindungan.