Putrajaya, 22 April 2025: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah berbesar hati menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2025 yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, Putrajaya.
Majlis ini dihadiri lebih 3,000 penjawat awam dan dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi serta sumbangan berterusan mereka dalam menyokong dasar-dasar kerajaan dan mendukung aspirasi Malaysia MADANI. Selain itu, majlis ini turut menjadi platform bagi mempererat ukhuwah, memupuk semangat kebersamaan dan menghayati nilai-nilai murni dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Para tetamu turut disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional Aidilfitri dan persembahan nyanyian yang menceriakan suasana majlis. Penganjuran majlis ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Syawal, malah menzahirkan komitmen kerajaan dalam mengutuhkan lagi nilai kekeluargaan dan semangat perpaduan yang sedia ada dalam suasana harmoni dan inklusif.
Majlis diserikan lagi dengan para hadirin yang indah berbusana tradisional bersempena Pertandingan Pakaian Tercantik yang diadakan.