BENGKEL PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN BAHAGIAN PERLINDUNGAN 2026–2030 (FASA FORMULASI)
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 134
6–7 Julai 2026, Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Pendigitalan Bahagian Perlindungan 2026–2030 (Fasa Formulasi) yang berlangsung selama dua hari bagi memperkukuh perancangan transformasi digital organisasi.
Bengkel ini bertujuan memperincikan inisiatif-inisiatif strategik bagi setiap program yang telah dikenal pasti untuk tempoh lima tahun akan datang, termasuk penyediaan unjuran kos, penetapan garis masa pelaksanaan serta penyelarasan tindakan bagi memastikan pelaksanaan pendigitalan dapat dilaksanakan secara berkesan, mampan dan berimpak tinggi.
Program ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah, YDH SAC Noor Azmi bin Yusoff, barisan Pengarah Cawangan serta wakil daripada setiap cawangan di BPJPM.
Bengkel ini turut mendapat bimbingan daripada fasilitator jemputan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Ts. Dr. Suraya binti Ya'acob dan Dr. Nur'Izzati binti Shabdin, yang telah berkongsi kepakaran serta membimbing peserta dalam memperhalusi strategi, inisiatif dan pelan tindakan pendigitalan organisasi.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkasakan agenda pendigitalan melalui perancangan yang sistematik dan strategik. Pelan Strategik Pendigitalan 2026–2030 yang dirangka dijangka menjadi pemacu kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih moden, cekap, bersepadu dan berteraskan teknologi digital.

