BENGKEL PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN BAHAGIAN PERLINDUNGAN 2026–2030 (FASA FORMULASI)
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 6
11–14 Jun 2026, Putrajaya – Pasukan Ping Pong Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang penyertaan dalam Kejohanan Ping Pong MAKSWIP Tahun 2026 yang berlangsung selama empat hari di Kompleks Sukan Pusat Kejiranan Presint 11, Putrajaya.
Dalam saingan peringkat kumpulan, pasukan BPJPM berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) (B). Pasukan turut memberikan saingan yang kompetitif dalam perlawanan menentang Perbadanan Putrajaya (PPj) (A) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) (B), masing-masing dengan keputusan 0-5 dan 1-4.
Secara keseluruhannya, pasukan BPJPM menamatkan cabaran di tempat ketiga kumpulan setelah mempamerkan komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Prestasi yang ditunjukkan mencerminkan kesungguhan setiap pemain dalam membawa cabaran jabatan di pentas sukan antara agensi kerajaan.
Pihak pengurusan merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh pemain serta pasukan sokongan teknikal atas dedikasi dan semangat kesukanan yang dipamerkan. Penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim antara agensi, malah turut menyemarakkan budaya hidup sihat dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang, BPJPM komited untuk mempertingkatkan latihan dan pembangunan pasukan secara berterusan bagi memastikan skuad ping pong jabatan terus berdaya saing dan mampu mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
23–24 Jun 2026, Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya menganjurkan Latihan Menembak Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Presint 20, Putrajaya.
Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran, kecekapan serta kompetensi pegawai dan ejen Bahagian Perlindungan dalam pengendalian senjata api. Program ini juga berperanan sebagai platform pendedahan kepada aspek keselamatan persenjataan, pengendalian senjata secara profesional serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam pelaksanaan tugas.
Program latihan ini telah diselia serta dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama Timbalan Ketua Pengarah serta barisan Pengarah Cawangan. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi jabatan mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan anggotanya.
Sepanjang latihan berlangsung, para peserta telah mengikuti modul latihan yang memberi penekanan kepada teknik pengendalian senjata api yang selamat, kemahiran menembak serta aspek disiplin dalam penggunaan senjata. Modul latihan yang komprehensif ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam melaksanakan tugas-tugas khas dan perlindungan keselamatan.
Penganjuran latihan ini turut membuktikan komitmen BPJPM dalam melahirkan anggota yang kompeten, profesional dan berintegriti. Kelancaran program tanpa sebarang insiden yang tidak diingini mencerminkan tahap disiplin yang tinggi serta pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur keselamatan sepanjang latihan dijalankan.
20 Mei 2026, Putrajaya – Satu sesi sinergi antara Cawangan Perjawatan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman dan Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berlangsung dengan jayanya bagi memperkukuh urus tadbir pegawai kader dan pegawai peminjaman PDRM yang sedang berkhidmat di BPJPM.
Sesi strategik tersebut telah diterajui oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama wakil daripada Cawangan Perjawatan PDRM Bukit Aman. Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan pengurusan modal insan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi keselamatan negara.
Melalui sesi ini, beberapa aspek penting berkaitan sistem pemantauan prestasi, kebajikan serta laluan kerjaya Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis yang berkhidmat sebagai pegawai kader dan pegawai peminjaman di BPJPM telah dibincangkan secara menyeluruh. Pendekatan proaktif yang dilaksanakan diyakini mampu memastikan kebajikan serta kepentingan pegawai sentiasa terpelihara selaras dengan dasar pengurusan sumber manusia semasa.
Selain itu, penyelarasan yang lebih sistematik antara PDRM Bukit Aman dan BPJPM turut membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan pengurusan silang agensi. Hubungan kerjasama yang semakin kukuh ini juga dijangka dapat mempertingkatkan kesiapsiagaan dan mutu penyampaian perkhidmatan pegawai di lapangan secara lebih efektif dan profesional.
Keberhasilan sesi sinergi ini membuktikan iltizam kedua-dua pihak dalam memartabatkan agenda integrasi, profesionalisme dan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam, khususnya melibatkan agensi keselamatan negara.
Halaman 1 dari 3