Khamis 24 September 2026 / 11 Rabiulakhir 1448
Image
×

kesilapan

The webmaster has forbidden your access to this site

SEMINAR PROGRAM PERLINDUNGAN SAKSI TAHUN 2026 PERINGKAT NEGERI SARAWAK

29 April 2026, Kuching, Sarawak – Upacara pembukaan Seminar Program Perlindungan Saksi Tahun 2026 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah disempurnakan oleh Ketua Polis Sarawak, YDH CP Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, di Hotel Pullman, Kuching.

Seminar ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk memperkasakan pengetahuan dan kefahaman berkaitan Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] serta pelaksanaan Program Perlindungan Saksi dalam kalangan agensi penguatkuasaan di negeri Sarawak. Akta 696 merupakan perundangan khusus yang menyediakan mekanisme perlindungan kepada saksi bagi membendung sebarang bentuk intimidasi, khususnya dalam kes jenayah serius dan jenayah terancang yang melibatkan kepentingan awam.

Melalui akta ini, Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri diberi tanggungjawab untuk menyediakan bantuan dan perlindungan menyeluruh kepada saksi yang layak menyertai program tersebut. Usaha ini selaras dengan komitmen BPJPM dalam memastikan keselamatan saksi sentiasa terpelihara demi menjamin kelancaran sistem keadilan negara, bertepatan dengan cogan kata “Perlindungan Saksi Tonggak Sistem Keadilan Negara.”

Agenda utama seminar menyaksikan pembentangan Kertas 1 bertajuk “Melindungi Suara Keadilan: Mekanisme Perlindungan Saksi dari Perspektif Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696]” oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid.

Sesi seterusnya diteruskan dengan pembentangan Kertas 2 dan Kertas 3 oleh Pendaftar BPJPM, YBrs. Puan Nur Hidayah Raihan binti Md. Nasir, yang menghuraikan mengenai mekanisme siasatan serta kriteria penilaian kemasukan ke dalam Program Perlindungan Saksi. Pembentangan tersebut turut menyentuh mengenai keberkesanan program berkenaan dalam membantu prosiding perbicaraan mahkamah serta memastikan keselamatan saksi yang terlibat.

Seminar ini menghimpunkan seramai 292 peserta yang terdiri daripada pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan di Sarawak, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sarawak, Jabatan Peguam Negara Cawangan Sarawak (AGC Sarawak), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak serta pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik yang lain.

Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan seminar peringkat negeri ini. Diharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman melalui program ini dapat terus memperkukuh pelaksanaan Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] demi memelihara kedaulatan undang-undang di Sarawak dan seluruh negara.


 
PENYERTAAN PASUKAN BOLING BPJPM DALAM PERTANDINGAN BOLING TERTUTUP JABATAN PERDANA MENTERI

26 April 2026, Putrajaya – Pasukan Boling Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam Pertandingan Boling Tertutup Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Wangsa Bowl, IOI City Mall.

Dalam pertandingan yang disertai oleh 35 pasukan daripada pelbagai bahagian dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, BPJPM telah menghantar dua pasukan iaitu BPJPM A dan BPJPM B. Kedua-dua pasukan telah memberikan saingan yang sengit sepanjang pertandingan dan berjaya mencatatkan keputusan yang membanggakan.

Pasukan BPJPM B berjaya menduduki tempat ke-9 keseluruhan, manakala BPJPM A memperoleh tempat ke-12 keseluruhan. Selain itu, Encik Yahaya turut mencatatkan pencapaian cemerlang apabila tersenarai dalam Kategori Turkey (Top 10).

Pencapaian ini mencerminkan semangat kerjasama berpasukan, disiplin serta komitmen tinggi dalam kalangan warga BPJPM. Pihak jabatan turut merakamkan penghargaan kepada barisan pengurus serta pasukan teknikal yang telah memastikan penyertaan pasukan berjalan dengan lancar.

Adalah diharapkan penyertaan ini dapat terus menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Jabatan Perdana Menteri pada masa akan datang.



BENGKEL PELAN STRATEGIK BAHAGIAN PERLINDUNGAN JABATAN PERDANA MENTERI BIL. 2 TAHUN 2026–2030

9–10 April 2026, Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya melaksanakan Bengkel Pelan Strategik BPJPM 2026–2030 Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 10 April 2026 di Ruang Serbaguna, Bahagian Perlindungan JPM.

Bengkel ini bertujuan merangka naratif pengurusan yang lebih dinamik dan efisien bagi tempoh lima tahun akan datang selaras dengan hala tuju strategik jabatan.

Sesi bengkel tersebut telah dihadiri dan dipantau oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan tertinggi terhadap usaha memperkukuh perancangan strategik jabatan serta menetapkan penanda aras kecemerlangan bagi setiap cawangan.

Antara intipati utama yang dicapai melalui bengkel ini termasuk:

  • Agenda Positif: Hasil bengkel ini dijangka memberi impak positif terhadap peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan integriti bahagian.
  • Kolaborasi Strategik: Penyelarasan perspektif antara unit bagi memastikan gerak kerja organisasi lebih bersepadu dan sistematik dalam mencapai objektif jangka panjang.
  • Tekad Pemerkasaan: Setiap cawangan menunjukkan komitmen tinggi dalam memperincikan pelan tindakan masing-masing bagi memastikan sasaran organisasi dapat direalisasikan.

Pelaksanaan bengkel ini merupakan manifestasi komitmen Bahagian Perlindungan JPM untuk terus memacu kecemerlangan perkhidmatan melalui perancangan yang lebih tersusun, strategik dan berwawasan.

 

 


PROGRAM PEMANTAPAN ORGANISASI DAN PEMBANGUNAN PASUKAN TAHUN 2026

13–15 April 2026, Pahang – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya melaksanakan Program Pemantapan Organisasi dan Pembangunan Pasukan Tahun 2026 yang berlangsung di Xcape Resort Taman Negara, Pahang. Program selama tiga hari ini mencerminkan komitmen tinggi warga kerja dalam memperkukuh sinergi pasukan serta meningkatkan prestasi organisasi melalui pelbagai aktiviti fizikal dan mental yang berstruktur.

Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian intensif merangkumi pembangunan minda, kemahiran penyelesaian masalah, serta aktiviti luar yang mencabar seperti Rapid Rafting dan eksplorasi perkampungan Orang Asli. Kesemua aktiviti ini dirangka bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan, ketahanan diri serta kecekapan membuat keputusan dalam situasi mencabar.

Program ini mencapai kemuncaknya melalui sesi pelan tindakan akhir dan majlis penutupan rasmi yang disempurnakan pada hari terakhir, sekali gus merumuskan keseluruhan input dan pengalaman sepanjang program berlangsung.

Keberkesanan program ini turut dizahirkan melalui penglibatan aktif Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid yang turut serta secara langsung dalam beberapa slot program seperti Mind Setting, Ice Breaking dan Team Forming. Penglibatan beliau telah memberi impak positif dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi dan pegawai di lapangan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga BPJPM.

Program ini secara keseluruhannya telah berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh organisasi serta membangunkan pasukan kerja yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan berprestasi tinggi.




SIARAN LANGSUNG PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

9 April 2026 – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, telah menyampaikan amanat khas dalam Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan yang berlangsung di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan.

Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan penjawat awam dalam mendepani cabaran geopolitik global serta menghargai kepakaran dan komitmen warga kementerian dalam memperkukuh sektor pengangkutan negara.

Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid turut menyertai sesi perjumpaan rasmi tersebut secara hibrid bersama barisan pegawai Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM).

Penyertaan secara hibrid ini mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan, sekali gus memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat disampaikan dengan jelas kepada seluruh jentera pentadbiran. Perkara ini selaras dengan penegasan YAB Perdana Menteri agar setiap maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat, telus dan berintegriti.



Hubungi Kami

Bahagian Perlindungan,
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 7, Menara Usahawan,
Persiaran Perdana Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62652 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya.
  •  +603-8000 8500
  • +603-8861 3636

Tag

Versi Mobile

http://www.bp.gov.my/

Statistik Pengunjung

Hari ini
:
 

Semalam
:
 

Minggu Ini
:
 

Bulan
:
 

Keseluruhan
:
 

Kemaskini Terakhir

 

VCNT - Visitorcounter

Today 10

Yesterday 230

Week 776

Month 5854

All 156424

Currently are 38 guests and no members online

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

  • 22 September 2026.
Hak Cipta © Bahagian Perlindungan JPM 
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox, Microsoft Edge & Google Chrome dengan resolusi skrin 1366 x 768

Laman Web Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri

Bahagian Hal Ehwal Undang - Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri

Prestasi Belanja Mengurus Jabatan Perdana Menteri

PRIMTECH

asmall amed abig blue red reset mas en