PENYERTAAN PASUKAN E-SPORT (FC26 DAN MLBB) BAHAGIAN PERLINDUNGAN, JABATAN PERDANA MENTERI (BPJPM) DI KEJOHANAN INDOOR GAMES E-SPORT MAKSWIP 2026
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 320
5 April 2026, Putrajaya – Pasukan E-Sport Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah menyertai Kejohanan Indoor Games E-Sport MAKSWIP 2026 bagi kategori FC26 dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April 2026 ini telah diadakan di Dewan Mezzanine, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Jabatan Perangkaan Malaysia, Kompleks C.
Penyertaan BPJPM dalam kejohanan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menggalakkan penglibatan warga kerja dalam aktiviti sukan elektronik sebagai platform membina semangat berpasukan, meningkatkan daya saing serta memupuk budaya kesukanan yang sihat.
Bagi kategori FC26, pasukan BPJPM diwakili oleh Togo, Blind, Alif dan Syafiq. Manakala bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), pasukan BPJPM terdiri daripada Sparrow, Nesta, Mojo, Jerry dan Casper.
Sepanjang kejohanan berlangsung, pasukan BPJPM telah memberikan saingan yang kompetitif dalam peringkat kumpulan. Bagi kategori FC26, pemain Togo berjaya menduduki tempat ketiga dalam kumpulan, manakala Alif, Syafiq dan Blind turut menunjukkan prestasi yang baik dengan menamatkan saingan di kedudukan keempat kumpulan masing-masing.
Dalam kategori MLBB pula, pasukan BPJPM mencatatkan keputusan keseluruhan 1 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan sepanjang pusingan kumpulan, sekali gus mempamerkan semangat juang yang tinggi serta kerjasama pasukan yang baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Pihak pengurusan merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pemain atas komitmen, disiplin serta semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini. Penyertaan ini bukan sahaja mencerminkan daya saing warga BPJPM, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Pengurus Pasukan serta pasukan teknikal yang telah menguruskan kebajikan pemain dengan baik sepanjang kejohanan berlangsung. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada warga BPJPM yang hadir memberikan sokongan padu dalam menyemarakkan semangat kesukanan pasukan.

