PEMERKASAAN HALA TUJU DIGITAL: BENGKEL PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN (PSP) BPJPM 2026–2030
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 305
3 April 2026, Ipoh – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) BPJPM bagi tempoh 2026–2030 untuk Fasa Strategi yang berlangsung dari 1 hingga 3 April 2026 bertempat di Hotel Travelodge, Ipoh.
Penganjuran bengkel ini bertujuan merangka serta membangunkan hala tuju strategik pendigitalan organisasi secara menyeluruh, termasuk penetapan semula misi dan visi ICT agar selari dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan operasi jabatan.
Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan JPM, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid. Turut hadir ialah SAC Noor Azmi bin Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah merangkap Penasihat Projek PSP, bersama para pengarah cawangan, pendaftar, serta wakil daripada Cawangan Operasi, Cawangan Siasatan, Pejabat Pendaftar dan Cawangan Pengurusan.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta terlibat dalam sesi perbincangan dan percambahan idea bagi mengenal pasti keutamaan strategik serta inisiatif pendigitalan yang mampu memperkukuh kecekapan operasi jabatan. Sinergi dan komitmen yang ditunjukkan mencerminkan kesungguhan BPJPM dalam memastikan agenda transformasi digital dilaksanakan secara terancang dan berkesan.
Bengkel ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Encik Mohammad Fadzli bin Ngatmi, Pengarah Cawangan Pengurusan merangkap Pengarah Projek Pelan Strategik Pendigitalan, yang menekankan kepentingan pelaksanaan strategi yang telah dirangka bagi memastikan BPJPM terus bersedia mendepani cabaran masa hadapan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

