13–15 April 2026, Pahang – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya melaksanakan Program Pemantapan Organisasi dan Pembangunan Pasukan Tahun 2026 yang berlangsung di Xcape Resort Taman Negara, Pahang. Program selama tiga hari ini mencerminkan komitmen tinggi warga kerja dalam memperkukuh sinergi pasukan serta meningkatkan prestasi organisasi melalui pelbagai aktiviti fizikal dan mental yang berstruktur.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian intensif merangkumi pembangunan minda, kemahiran penyelesaian masalah, serta aktiviti luar yang mencabar seperti Rapid Rafting dan eksplorasi perkampungan Orang Asli. Kesemua aktiviti ini dirangka bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan, ketahanan diri serta kecekapan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Program ini mencapai kemuncaknya melalui sesi pelan tindakan akhir dan majlis penutupan rasmi yang disempurnakan pada hari terakhir, sekali gus merumuskan keseluruhan input dan pengalaman sepanjang program berlangsung.
Keberkesanan program ini turut dizahirkan melalui penglibatan aktif Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid yang turut serta secara langsung dalam beberapa slot program seperti Mind Setting, Ice Breaking dan Team Forming. Penglibatan beliau telah memberi impak positif dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi dan pegawai di lapangan, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga BPJPM.
Program ini secara keseluruhannya telah berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh organisasi serta membangunkan pasukan kerja yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan berprestasi tinggi.

