PENGLIBATAN DELEGASI BAHAGIAN PERLINDUNGAN, JABATAN PERDANA MENTERI (BPJPM) DI BENGKEL SERANTAU ASIA TENGGARA MENGENAI PERLINDUNGAN SAKSI TAHUN 2026
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 10
6 - 9 September 2026, Phuket – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah menyertai Southeast Asia Regional Workshop on Progress and Best Practices in Witness Protection 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 9 September 2026 di Renaissance Phuket Resort & Spa, Phuket, Thailand.
Bengkel serantau ini menjadi platform bagi negara-negara peserta bertukar pandangan, pengalaman, kepakaran serta amalan terbaik berkaitan pengurusan dan pelaksanaan program perlindungan saksi.
Penyertaan Malaysia dalam bengkel berkenaan turut memberi ruang kepada BPJPM untuk berkongsi perkembangan semasa negara dalam memperkukuh sistem perlindungan saksi, termasuk usaha pemodenan perkhidmatan melalui pendigitalan proses permohonan dan semakan status penyertaan Program Perlindungan Saksi.
Selain itu, Malaysia turut berkongsi perkembangan dari aspek perundangan susulan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang telah dimuktamadkan di Parlimen pada 14 Julai 2026.
PERTUKARAN AMALAN TERBAIK
Antara perkara yang dibincangkan sepanjang bengkel adalah berkaitan amalan terbaik dan mekanisme pelaksanaan program perlindungan saksi yang melibatkan wakil dari Malaysia, Thailand, Australia, Indonesia dan Filipina.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi dan kebolehlaksanaan kerjasama perlindungan saksi merentas sempadan (cross-border witness protection), khususnya dalam memperkukuh kerjasama antara negara dalam menangani keperluan perlindungan saksi yang melibatkan lebih daripada satu bidang kuasa.
Bengkel turut menampilkan sesi syarahan dan pembentangan oleh pakar akademik daripada Universiti Thammasat, Thailand serta pegawai Australian Federal Police (AFP) berkaitan standard, piawaian dan amalan terbaik dalam perlindungan saksi di rantau Asia.
PENGLIBATAN DELEGASI BPJPM
BPJPM telah diwakili oleh delegasi rasmi yang diketuai oleh YDH Pengarah Cawangan Operasi dan turut disertai oleh Penolong Pengarah Siasatan serta Penolong Pengarah Kanan Teknologi Maklumat.
Penglibatan pegawai daripada bidang operasi, siasatan dan teknologi maklumat mencerminkan pendekatan menyeluruh BPJPM dalam memperkukuh pelaksanaan Program Perlindungan Saksi, selaras dengan perkembangan semasa serta keperluan pengurusan perlindungan saksi yang semakin kompleks.
Penyertaan Malaysia dalam bengkel serantau ini turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran dengan negara-negara peserta dalam usaha mempertingkatkan amalan perlindungan saksi di peringkat serantau.

