SESI BICARA ILMU BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG (BHEUU), JABATAN PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA BHEUU BIL. 2 TAHUN 2026
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 19
26 Ogos 2026, Putrajaya – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Sesi Bicara Ilmu Warga BHEUU Bil. 2 Tahun 2026 bertempat di Dewan Saksama, Aras 2, BHEUU. Penganjuran sesi ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam memperkukuh pemahaman warga BHEUU terhadap perkembangan serta pelaksanaan reformasi perundangan negara.
Sesi Bicara Ilmu ini memberi tumpuan kepada empat agenda utama yang merangkumi perkongsian berkaitan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Puan Nur Hidayah Raihan binti Md. Nasir, Pegawai Undang-Undang Gred L12, Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM). Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Julai 2026 dan seterusnya di Dewan Negara pada 22 Julai 2026.
Selain itu, sesi ini turut merangkumi pembentangan berkaitan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 (SOAC). Perkongsian turut melibatkan penerangan mengenai Pelan Strategik BHEUU 2026–2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU 2026–2030 sebagai panduan dalam memperkukuh perancangan strategik, pendigitalan serta penyampaian perkhidmatan perundangan yang lebih berkesan.
Penganjuran sesi ini diharapkan dapat memperluas pengetahuan dan kefahaman warga BHEUU berhubung perkembangan semasa dalam bidang perundangan, di samping menyokong usaha berterusan ke arah pemerkasaan reformasi perundangan dan peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

