3 Ogos 2026, Putrajaya – Perhimpunan Bulanan Warga Undang-Undang dan Reformasi Institusi bagi bulan Ogos 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Putrajaya, dipimpin oleh YB Menteri dan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Perhimpunan tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama-sama barisan kepimpinan tertinggi serta warga kerja daripada agensi-agensi di bawah Sektor Undang-Undang dan Reformasi Institusi. Kehadiran para pegawai mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik serta menyokong agenda pembaharuan institusi.
Majlis turut menyaksikan pelaksanaan tiga agenda utama, iaitu pelancaran Pelan Strategik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) 2026–2030, Pelan Strategik Pendigitalan BHEUU 2026–2030, serta Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026. Pelancaran kedua-dua pelan strategik tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tadbir urus, mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam sektor undang-undang dan reformasi institusi.
Penganjuran perhimpunan ini mencerminkan iltizam berterusan Kerajaan dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui perancangan strategik yang mampan, pendigitalan yang menyeluruh serta pengukuhan semangat patriotisme dalam kalangan warga sektor Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

