18–19 Julai 2026, Putrajaya – Pasukan Dragon Boat Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Putrajaya International Dragon Boat Race 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya.
Pada hari pertama kejohanan, pasukan BPJPM Paddlers mempamerkan prestasi cemerlang dalam Separuh Akhir 1 bagi kategori Agensi Lelaki, sekali gus berjaya mengesahkan tempat ke peringkat akhir selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, di belakang pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kejayaan tersebut turut disaksikan oleh warga BPJPM yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada kontinjen.
Persaingan diteruskan pada hari kedua menerusi perlumbaan akhir yang menyaksikan pasukan SMART JPM muncul sebagai juara, diikuti RMP Paddlers di tempat kedua dan PCC Paddlers di tempat ketiga. Walaupun berdepan saingan sengit daripada pasukan-pasukan berpengalaman, kontinjen BPJPM berjaya menamatkan kejohanan di kedudukan keenam keseluruhan, sekali gus membuktikan daya saing dan semangat juang yang tinggi.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen, disiplin dan kerjasama erat yang dipamerkan oleh seluruh atlet sepanjang kejohanan berlangsung. Bahagian Perlindungan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua atlet, pengurusan pasukan serta jawatankuasa sokongan atas dedikasi dan usaha yang telah mengharumkan nama BPJPM dalam kejohanan berprestij ini.

