14 Julai 2026, Kuala Lumpur – Persidangan Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada satu lagi perkembangan penting dalam agenda reformasi perundangan negara menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua.
Pembentangan bacaan kali kedua telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina Othman Said. Sesi perbahasan yang berlangsung telah menyaksikan penyertaan aktif seramai 13 orang Ahli Parlimen, yang membincangkan pelbagai aspek berkaitan cadangan pindaan bagi memperkukuh pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.
Sesi penggulungan kemudiannya telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Tuan M. Kulasegaran, yang memberikan penjelasan terhadap isu-isu serta pandangan yang dibangkitkan sepanjang perbahasan. Setelah mengambil kira hujahan dan cadangan yang dikemukakan, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 pada bacaan kali kedua dan seterusnya bacaan kali ketiga pada hari yang sama.
Proses pembentangan, perbahasan dan kelulusan rang undang-undang tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama-sama pegawai-pegawai daripada agensi berkaitan sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem perlindungan saksi serta memperkasakan kerangka perundangan negara.
Kelulusan Rang Undang-Undang ini merupakan satu langkah signifikan ke arah memperkukuh keberkesanan Program Perlindungan Saksi, sekali gus memastikan keselamatan, kebajikan dan keyakinan saksi terus dipelihara dalam menyokong kelancaran sistem keadilan negara.

