SESI SINERGI POLIS DIRAJA MALAYSIA BERSAMA BAHAGIAN PERLINDUNGAN, JABATAN PERDANA MENTERI BAGI URUS TADBIR PEGAWAI KADER PDRM
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 257
20 Mei 2026, Putrajaya – Satu sesi sinergi antara Cawangan Perjawatan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman dan Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berlangsung dengan jayanya bagi memperkukuh urus tadbir pegawai kader dan pegawai peminjaman PDRM yang sedang berkhidmat di BPJPM.
Sesi strategik tersebut telah diterajui oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama wakil daripada Cawangan Perjawatan PDRM Bukit Aman. Pertemuan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan pengurusan modal insan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara agensi keselamatan negara.
Melalui sesi ini, beberapa aspek penting berkaitan sistem pemantauan prestasi, kebajikan serta laluan kerjaya Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis yang berkhidmat sebagai pegawai kader dan pegawai peminjaman di BPJPM telah dibincangkan secara menyeluruh. Pendekatan proaktif yang dilaksanakan diyakini mampu memastikan kebajikan serta kepentingan pegawai sentiasa terpelihara selaras dengan dasar pengurusan sumber manusia semasa.
Selain itu, penyelarasan yang lebih sistematik antara PDRM Bukit Aman dan BPJPM turut membantu meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam urusan pengurusan silang agensi. Hubungan kerjasama yang semakin kukuh ini juga dijangka dapat mempertingkatkan kesiapsiagaan dan mutu penyampaian perkhidmatan pegawai di lapangan secara lebih efektif dan profesional.
Keberhasilan sesi sinergi ini membuktikan iltizam kedua-dua pihak dalam memartabatkan agenda integrasi, profesionalisme dan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam, khususnya melibatkan agensi keselamatan negara.

