MEMPERKASAKAN KETELUSAN DAN KECEKAPAN DALAM TADBIR URUS SISTEM e-PEROLEHAN
- Galeri Gambar
- Jumlah paparan: 257
13–14 Mei 2026, Cyberjaya – Kursus Sistem e-Perolehan Tahun 2026 bagi Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya dianjurkan di Institut Perakaunan Negara (IPNCPD), Cyberjaya.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan, pengetahuan serta kefahaman warga Bahagian Perlindungan mengenai tatacara penggunaan sistem e-Perolehan yang terkini. Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan setiap urusan perolehan dilaksanakan secara telus, sistematik dan berintegriti.
Program ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, YDH SAC Noor Azmi bin Yusoff, serta para Pengarah dan warga Bahagian Perlindungan.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta turut menerima perkongsian ilmu daripada penceramah jemputan yang berpengalaman dalam bidang berkaitan. Antaranya ialah Encik Muhammad Faiz bin Abdul Rahman daripada Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) yang menyampaikan taklimat mengenai Standard dan Pensijilan Hijau, serta Encik Mohd Firman Shah daripada Commerce Dot Com (CDC) selaku Pegawai Penyelaras Kementerian (JPM) bagi sistem e-Perolehan.
Melalui kursus ini, para peserta berpeluang meningkatkan kefahaman terhadap pelaksanaan sistem e-Perolehan secara lebih efektif, di samping memperkukuh amalan tadbir urus yang baik dalam pengurusan perolehan kerajaan.
Adalah diharapkan agar segala ilmu dan pendedahan yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan dan diimplementasikan sebaiknya oleh warga Bahagian Perlindungan dalam melaksanakan tugas harian, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan organisasi dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti.

